Showing posts with label Hobi Baru. Show all posts
Showing posts with label Hobi Baru. Show all posts

Friday, 26 August 2022

Saya Juga Ada Hobi

Assalamm....

Semestinya saya juga ada hobi, hobinya emak-emak sangat, tapi saya tak cenderung kepada hobi mengumpul tupperware atau pinggan mangkuk.  Itu dulu, sekarang sudah tak relevan pada saya, sekarang sudah insaf cukup pakai apa yang ada.  Guna je pinggan ikea dua hengget lebih tu, pecah tak sakit hati.  Hobi yang lebih berfaedah untuk kegunaan seisi keluarga, hobi beli sabun basuh pinggan juga masih berterusan hingga kini, sekarang sabun untuk badan pula.

Tersuka dengan mandian ginvera world spa ini setelah diperkenalkan oleh adik.  Dia yang mula-mula beli beberapa botol untuk bawa balik kampung, walaupun bawa sendiri toiletries setiap balik kampung tetap juga nak cuba mandian ini, jadi tersuka dan kita pun angkut sekali dari watson atau guardian jika ada offer.

Wangian turkish ini, boleh lah kau nak berangan mandi sambil ada orang gosok-gosok kan badan macam puteri raja kerajaan Othmanian dulu.  Jangan berangan jadi hurem si gundik raja sudah.

Balinese ini kesukaan en.abe, bau-bau serai dan bunga kemboja.

Kebanyakkan dah try tinggal wagian japanese lagi belum.  Tapi semua macam best je pakai sebab semua ada microbeads, nak manjakan diri di spa memang jarang, jadi ada yang ini ok lah sebab boleh scrub badan setiap hari pagi petang pun boleh.

Saya mencari shower scrub Japanese yang satu lagi, warna merah (valcano ash - bamboo salt).  Tunggu ada offer di dua kedai tu baru beli, iceland warna hitam (sea mud - charcoal) dan swiss pink (alpine roses - edelweiss) pun kena top up, stok dah habis dalam kabinet.

Wassalam.

Kalau Sudah Minat

Assalamm.

Baru-baru ini perjalanan balik kampung, suami singgah di tempat kawan dia yang sama hobi.  Satu geng hobi membela, bukan bela hantu, tapi bela ikan sungai.  Nama pun mungkin orang pahang kan, banyak sungai dan ikan, jadi automatik suka kepada ikan sungai.  Kalau sudah minat, cakap lah apa pun, pasti mereka ada jalan nak jayakan hobi itu.  Lihat saja rumah atau bangsal tempat kawan ini letakkan kolam dan aquarium dia.  bebeapa kali dah ikut ke sini, tapi tak minat nak turun tengok ikan, kali ini rajin-rajinkan diri turun dan ambil gambar ikan. 

Tangki yang paling besar, sebesar bilik tidur, menempatkan banyak ikan sungai yang bersaiz besar.  Antara ikan yang ada dalam itu ikan kelah, kerai, tembat, temoleh, jelawat, lampam, tengas dan lain-lain yang saya kurang kenal. 

Di samping kolam besar tu, ada satu lagi kolam yang lebih kecil dan rendah sedikit.

Fiber tank ini pun dah cukup besar dan cantik untuk display ikan, tapi lebih sesuai jika diletakkan di ruang terbuka begini.

Aquarium ini nampak biasa di sini, tetapi cukup besar bagi kita yang tinggal di dalam rumah kecil dan ruang yang sempit.

Ikan Temoleh sungai Pahang yang berusia 13 tahun dalam jagaan tuannya, beratnya dalam belasan kilo. 

Mengikut cerita en.Abe, kawan ini pernah kerugian puluhan ribu ringgit ekoran ratusan ekor ikan mati disebabkan bekalan elektrik terputus beberapa hari di daerah Temerloh dan Mentakab.  Kejadian berlaku ketika banjir besar yang berlaku awal tahun ini. Kawasan rumah mereka terletak di atas bukit, dan seolah-olah berada dalan pulau kerana kawasan sekeliling semua dinaiki air dan pihak berkuasa tempatan terpaksa memutuskan bekalan elektrik demi keselamatan bersama.  Kiranya ikan besar yang masih ada itu adalah antara yang mampu bertahan hidup ketika itu. Semoga kejadian itu tak berulang lagi lah.

Wassalam. 

Wednesday, 27 July 2022

W-W: Anak-anak Tiri

Assalamm...

Anak ikan en.abe, pinjam untuk bersiaran di sini, dah 3 tahun lebih dia berjinak-jinak belah ikan sungai terutamanya ikan kelah, jelawat, kelisa, tengas lain-lain tu tak kenal.  Hobi dia turutkan saja lah. 



Yang ini paling menghiburkan, si putih makanan kegemarannya buah mangga, tapi bagi apa pun semua dia bedal termasuk durian, pulut atau apam gula hangus.....sebab tu dia rajin gosok gigi.


Rindu pada anak-anak tiri, tak lama lagi mak tiri nak balik, boleh lah ko makan nasi dengan sayur keladi ya.

Wassalam.

Saturday, 16 November 2019

Khabar Tanaman.

Assalam....
Hampir 2 minggu tidak menjenguk ke sini, ari itu dah bersih daripada lalang dan rumput.  Kali ini lalang dan rumput renek juga sama naik subur, maklum dapat cukup air hujan dan sinaran matahari.  Tak sempat nak berehat, capat gunting potong rumput, setelkan yang ini dulu baru boleh berehat. 


Alhamdulillah pokok durian belanda pemberian mertua nampaknya dapat tumbuh dan keluar pucuk muda.


Pokok limau purut yang dah dipindahkan dari polibeg dapat juga terima tempat baru.


Pokok telang yang dah mula nak memanjat pagar.


Dari beberapa ranting kesum, hanya satu yang berjaya keluarkan daun, mungkin perlukan teduhan terlebih dahulu.


Kucai dah boleh tuai jika nak buat cucur.  Daun kemangi dan berbunga dan bunga mula nak kering, takpe kita biarkan dulu, moga ada bibit baru akan muncul.


Pokok cekur yang tak menghampakan, kedua-dua pasu hidup subur nampaknya.


Tunas tu sama dua minggu lepas, tiada perkembangan, 2 batang lagi dah kering.  Harap yang ini boleh teruskan perjuangan mencambahkan tunas kelor.


Pokok serai yang dah mula keluarkan daun, boleh nampak kan rumput sekeliling pun subur juga bercambah.  Walaupun tanah tu banyak batu tapi cukup nutrien untuk pertumbuhan pokok dan rumput.


Ini ada pokok additional untuk kebun mini, daun pandan, kunyit dan lengkuas bawa balik dari kampung tuari.


Dalam bekas polisterine tu pula dicucukkan keratan cukur manis dan tabur benih pokok raja, sementara keratan yang tanam terus ke tanah adalah keratan ubi kayu.   Moga boleh sesuaikan diri ditempat baru mereka ini.

Lepas ini kena sulam balik pokok yang mati, terutama pokok kari dan kelor, lepas ini kita pantau lagi perkembangannya nanti.  Tengah nego dengan orang agar dia buatkan kotak kayu untuk menanam selain guna kotak polisterine, moga terbuka hati dia buatkan cepat-cepat. 
Wassalam.

Tuesday, 22 October 2019

Hobi Lama Yang Nak Diperbaharui....

Assalam...
Tengok tajuk dah tahu kan yang saya suka nak tanam-tanam.  Lama sangat memendam rasa sebab rumah sekarang tak boleh nak tanam-tanam tak sama masa duk penang dulu, walau tinggal atas awan tapi depan rumah penuh pokok bunga.  Kali ini dapat jer tanah melompat riang sangat, nak rasa tangan ini pegang tanah balik (aura orang kampung anak pekebun gitulah gamaknya).  Cuma kali ini kita tukar sikit tanaman tu, kalau dulu tanam pokok bunga sekarang nak tanam pokok herba, untung-untung esok ada hasil boleh dihidang atas meja makan.  Misi mencari pokok dan tanah, singgah di nurseri pertama, mak aii mahalnya pokok yang dikehendaki, dapat beli tanah saja.  Jalan lagi, jumpa lah nurseri yang hujung sekali, Lot 53 tak silap menunggu masa untuk berpingah.  Di sini dapat beli pokok kemangi dengan harga murah 3 kali ganda dari nurseri yang mula tadi.  Jadi kita mark nurseri tu, akan datang kita pergi lagi beli tanah dan pokok.


Inilah tanah sekangkang kera yang nak disumbat macam-macam.  Berjaya potong rumput sendiri, mengaduh gak lenguh dan sakit pinggang.  Aku sebesar ini saja ulang beberapa kali baru dapat bersihkan semua, berapa kali rehat menyandar sambil terkenang arwah bapak dulu kerjakan tanah 20 ekar seorang diri.  Dah separuh menyangkul dan potong rumput baru teringat, awatlah tak panggil jer orang tolong bersihkan.  Google ada jer service potong rumpur area situ, tapi dah tinggal separuh kita kayuh perlahan-lahan sambil bersenam konon-kononnya.


Pokok pertama yang saya nak tanam sangat adalah pokok ini, pokok kemangi (comangi arwah mak panggil), beberapa kali ambil benih dari kampung nak semai asyik tak menjadi.  Gigih saya cari kat nuseri, kena keluar duit pun keluar lah dah tak kisah kali ini.  Semoga awak tumbuh sihat lah di situ, dah sihat esok saya buat awak sambal.


Kesempatan melawat keluarga angkat di Kedah hari tu, tak lupa ambil bekalan pokok dari sana, Mak Andak bagi 3 jenis pokok.  Pokok cekur (dah semai jadikan 2 pasu), kucai dan pokok kari puleh. 


Pokok kucai pemberian Mak Andak, angkat sekali dengan bekas tu.  Jauh datang dari Sidam Kiri, Kedah dah selamat bersemadi di situ.  Pokok ini perlukan sedikit teduhan sebenarnya, nampak daun-daun dia dah kuning-kuning sebab panahan terik matahari.  Selepas seminggu ditanam, bertahan hanya 2 pokok, kari puleh tak bertahan lama mungkin sebab terlebih air atau akar pokok rosak masa mencabut hari tu, sebelum ditanam memang dah layu kekuningan.


Semai biji bunga telang (bunga nasi kerabu), juga ambil daripada kebun si abang lah.  Nampak gaya macam nak pindahkan isi kebun si lah saja ke sini, tapi tak mungkin kot kebun dia siap ada pokok tebu, kelapa, jambu air, betik dan macam-macam lagi.


Punya lah kedekut nak berjimat, tanam pokok dalam plastik bekas beras.  Tak kisahlah yang penting dapat tanam pokok dan mulakan aktiviti dulu.  Pokok ini saya minta keratan daripada jiran, kami panggil pokok bakawali, rasanya sangat pahit dan sememangnya sejenis herba yang berguna.


Setelah seminggu dibersihkan, sakit hati tengok tunas-tunas lalang tu naik balik.  Nantilah ada masa boleh korek akar umbi dia, lalang nie kalau tak musnahkan akar selagi itu lah dia akan terus tumbuh.  En. Abe kata nak racun saja, tapi entah bila lah akan terjadi tu.


Minggu berikutnya tambah koleksi lagi, singgah beli tanah di kedai yang dah mark tu.  Sempat grab 2 pokok ni dari nurseri tu, tokeh dia dah bagi flyer tentang offer sebelum berpindah dan lokasi baru nurseri tu akan datang.  Kedua-dua pokok ini kita biar dulu, letak dekat pokok-pokok lain.  Senang-senang nanti kita pindahkan.


Minggu itu tambah juga koleksi dengan mencucuk  2 batang kelor (moringa).  Agak cuak juga sebab tanah di situ penuh dengan batu, Serah pada Allah yang berkuasa menghidupkan dan mematikan sesuatu mengikut yang dikehendakiNya.  Batang kelor tu ambil dekat tempat kerja, dulu ada minta si abang lah cucukkan dekat kebunnya.  Kebun dia dah tak terjaga sejak dia balik kampung dan tak balik-balik Malaysia dah.


Pokok serai juga ambil dari kebun si abang lah, tanam serai biasa saja dulu.  Nanti boleh lah ambil pokok serai wangi pula.

Ada juga cerita lucu, masa adik ipar balik kampung minta dia bawakan pokok dari kampung.  Tapi tak cakap lah nak pokok herba yang ada keliling rumah mertua, sekali dia cerita kat bapak mertua, orang tua tu pergi beli anak pokok rambutan, harum manis, durian belanda bagai.  Adoi lah mak bapak metuaku....tunggu lah anak awak beli tanah kebun yek...
Wassalam.