Showing posts with label Makanan Tradisi Pahang. Show all posts
Showing posts with label Makanan Tradisi Pahang. Show all posts

Thursday, 13 August 2020

Peria Tumis Tempoyak dengan Bilis Mata Biru

Assalamm...
Koi dah menjadi sebahagian keluarga Pahang, harus lah pandai makan tempoyak kan.  Segala jenis masakan tempoyak boleh je masuk tekak asal jangan tempoyak sambal mentah tu, tak tahu kenapa tak boleh terima lagi.  Buat sambal tumis manja-manja begini suka sangat, yang mentah campur budu memang tak boleh terima lagi, pelan-pelan soon lah kot.  Ini faveret menu di rumah mertua, jika tak guna peria biasa mertua guna batang keladi atau petai.  Kali ini saja lah buat enhance kononnya guna ikan bilis halus yang mereka gelar sebagai ikan bilis mata biru or silver enchovie, biasa guna bilis biasa jer, yang mata hitam atau coklat.  Sebenarnya stock ikan bilis mata biru tu baru sampai dari Sandakan, cucu sepupu tolong belikan.



Peria Tumis Tempoyak Dengan Bilis Mata Biru
Sumber: Mulia

Bahan-bahan
1 biji peria - potong nipis
1 gengam ikan bilis mata biru - goreng garing
2 biji bawang besar - hiris
1 labu bawang putih - hiris
2 sudu tempoyak
Segengam cili padi (ikut pedas)
2 biji cili besar - hiris
Sedikit serbuk kunyit 
Garam
Gula 
Bahan perasa
Minyak masak
Sedikit air jika perlu 

Cara Penyediaannya
* Goreng ikan bilis hingga garing dan ketepikan.
* Tumis bawang guna bekas minyak tadi, tumis hingga layu, masukkan cili.  Jika suka bilis, bawang dan cili  padi boleh juga ditumbuk kasar.
* Masukkan peria, serbuk kunyit dan tambah air jika perlu.  Jangan masak terlalu lama, cukup peria tu lembut sikit saja.
* Tambahkan tempoyak, kacau biar sebati.
* Masukkan garam, gula dan bahan penambah perisa.
* Masukkan ikan bilis tadi, kacau rata dan tutup api.
* Hidangkan.


Dapat juga kiriman sambal dari Sandakan, sambal kulit buah sentul.


Dan sambal kelapa (bejabuk), terima kasih banyak anak buahku.  Dalam bungkusan tu ada juga buah mangga udang (tak sempat ambil gambar).


Lauk ringkas begini sangat menyelerakan bagi saya walaupun nampak biasa-biasa saja.  Pesanan penaja, masak nasi lebih sikit sebab kemungkinan bertambah-tambah tu pasti. 

Ini dalam perjalanan balik kampung moga jumpa lauk tempoyak, tak ikan patin, petai tumis tempoyak pun jadi lah.
Wassalam.

Aidll Adha 2020

Assalamm...
Sudah dua kali kita menyambut raya pada waktu PKP dan kedua-duanya sangat berbeza daripada tahun-tahun lepas.  Raya puasa sambut di rumah sendiri sebab rentas negeri tidak dibenarkan, ketentuannya mertua dari kampung yang datang sambut raya dengan kami sebab pak mertua ada masalah kesihatan dan perlu dirujuk ke PPUM segera.  Bermula dari situ lah yang ayah kena hd 3 kali seminggu dan tinggal bersama kami hampir 2 bulan sementara menguruskan segala dokumen, dan menguruskan tempat hd baru berdekatan di Jerantut.  Seminggu sebelum Aidil Adha, urusan ayah telah selesai dan beliau dapat hd di Jerantut dan kami pun plan nak balik beraya di Pahang, berkumpul dengan adik-beradik yang boleh balik beraya.  Hanya 4 orang daripada 7 beradik en.Abe yang dapat berkumpul dan kami balik 2 hari sebelum raya.  Macam biasalah jalan raya musim perayaan ke pantai timur tu sesaknya luar biasa walaupun kami melalui jalan lama, dini hari baru sampai rumah. 

Sehari sebelum raya, mertua ke pekan untuk membeli barang-barang untuk masak-masak raya petang dan malam nanti.  Sarapan nasi berlauk pagi tu untuk yang tidak puasa sunat sebelum mulakan operasi cuci dan kemas rumah.  Rumah ditinggal hampir 2 bulan macam-macam hal berlaku, paip air bocor menyebabkan dinding dan siling dapur serta satu bilik berkulat serta serangan anai-anai pada perabut di bilik tidur.  Minggu lepas balik hantar barang sempat kemas sikit dan buang perabot yang terjejas.  Katil dan almari baju jadi mangsa dan tidak dapat diselamatkan terpaksa dibuang dan dibakar.  Ini tengah diy buat rangka katil sementara pagi itu.


Sebelah petang saya ambil tugasan cuci ayam dan sediakan bahan-bahan nak masak-masak raya sebab dah tak larat teruskan mengemas bersama adik.  Mertua yang ambil alih tugas memasak untuk juadah buka puasa dan makan malam petang tu.  Rehat-rehat selepas makan malam, masing-masing ambil tugasan, saya tolong  mertua buat tapai, permintaan last minute daripada cik aji (bonda ustad dasuki) minta dibuatkan tapai 2 kilo yang dibungkus dengan daun getah, tapai untuk rumah ini dah buat semalam.  Peluang yang bagus sebab sebelum ini memang tak pernah lagi tengok cara balut tapai guna daun getah, selalu mertua guna daun pisang ataupun letak dalam container kecil.  Aktiviti mengemas sambung esok lagi dan yang lain tolong cucuk sate.


Daun getah yang telah dibersihkan, perlu betul-betul kering sebelum digunakan untuk membungkus tapai.  Itu tips supaya tapai tak merah kata mak mertua.


Percubaan pertama, asyik nak cari daun getah yang besar sebab boleh letak pulut banyak-banyak dan senang nak lipat.  Asyik mengelat je kerjanya, tapi mereka lagi mengelat kata tak pandai bungkus tapai dan pulut lepo.


Hasilnya ada yang kembung dan merekah sebab terlalu banyak pulut.  Hantam saja lah labu, dah dekat tengah malam masa tu dan ada 2 kilo pulut lagi masih menunggu giliran untuk buat pulut lepo minta dibungkus. 


Pagi raya, tiada yang pergi sholat raya, orang perempuan tak dibenarkan sholat di masjid kampung.  Ayah ada hd pagi itu di Jerantut, kami bertiga teruskan berkemas lagi, nasib lah raya PKP tiada orang datang berziarah, pagi raya rumah macam tongkang pecah.  Dekat tengahari sepupu call nak datang beraya lepas jumaat, speed mengemas terpaksa dilajukan harap dapat settled sebelum mereka sampai.  Standby susun kerusi dan meja di garage sekiranya mengemas tak boleh siap, boleh lah mereka duduk dan makan di situ nanti.  Alhamdulillah petang tu sempat semuanya dan ayah pun sempat balik dari hd sebelum mereka datang, dapatlah sembang santai-santai sambil menikmati juadah bersama.


Sebelah malam, santai adik beradik bakar-bakar sate.  Sendiri perap, sendiri cucuk, sendiri bakar dan sendiri makan.  Saja nak rasa bagaimana jika sediakan sendiri, projek bakar lemang tidak dapat dilaksanakan sebab ada tugas yang lebih penting, sudahnya beras pulut dan kelapa hantar ke rumah pak itam.  Malam raya pak itam call datang ambil lemang, hehehehe.  Malam tu tidur awal sikit sebab plan kami 4 orang nak bertolak ke Kota Bahru jam 5.


Terbabas waktu nak bertolak 5 pagi, semua tak sedar jam loceng bunyi, alih-alih dengar azan subuh.  Jam 7 lebih sikit kami bertolak ke KB pagi itu, perjalanan balik hari semata-mata nak hadiri majlis kesyukuran sepupu kahwin.  Dalam benak asyik terfikir tak jem ker dalam perjalanan.  Pergi sesak sedikit terutama kawasan dekat pekan, dapat sampai KB jam 1 tenghari.  Sedang elok lah perut pun dah lapar kan, terus je boleh makan?


Mak ngah terima menantu orang Sibu Sarawak, selamat untuk Hazman dan Humairah.  Bagi peluang chek berjumpa adik-beradik dia yang lain di rumah kenduri saja, abang dah siapkan jadual sebelum jam 4 kena gerak balik untuk elakkan kesesakkan sebab masa datang pun dah nampak kenderaan bertali arus keluar dari kelantan.  Siap urusan, kami gerak balik dalam 4.15 petang, nampak mereka bungkuskan bekalan gulai atau lauk.  Kesesakan memang dah dijangka dibanyak kawasan, redho saja lah dan kami sampai rumah (Batu Balai) pada jam 2 pagi.

Esoknya sambung lagi cuci rumah sampai ke petang.  Kali ini cuci rumah sungai pula, mertua ada 2 rumah jika tak banjir duduk rumah dekat sungai, masa banjir pindah duduk rumah dalam kebun.  Banjir bulan 6 hari tu agak tinggi hingga cecah lantai, dah berapa bulan tak dibersihkan, selut dan tanah pun dah mengeras.  Selesai cuci 2 buah rumah terus rasa ada hati boleh offer service cuci rumah lepas ini, hahaha.  Malam tu tangguh balik PJ, nak rehatkan kaki, lagi pun tengah jem sangat tu tengok update pengguna jalan raya, balik esok pagi lah.
Wassalam.

Thursday, 26 March 2020

Kerabu Masak Perut Muda Cara MIL


Assalam...
Musim cuti, musim untuk balik kampung dan boleh main masak-masak dengan MIL.   Rasa diri kanak-kanak lah pula guna kata 'main-main' tu kan.  Kena bagi tahu, main masak-masak dengan MIL ini yang dah lama bukan sekarang tau.  Kena info siap-siap kalau tidak nanti kena kecam kenapa balik kampung tak reti nak duduk diam-diam ker?.


Kita pun ada hati perut tau bukan buta perut macam awak.  Eh marah ker? tak lah saja jer nak merepek sebab dah puas duduk rumah kan.  Kita cerita pasal perut lembu sudah lah, perut lembu yang jadi kantung dan proses segala makanan yang lembu makan adalah organ dalaman yang ramai peminatnya.  Cuci bersih-bersih dan boleh olah jadi pelbagai hidangan lazat.  Ini salah satu resepi, cara MIL hasilkan menu dengan menggunakan perut lembu muda.


Kerabu Masak Perut ala MIL
Sumber: Che Bedah

Bahan-bahan
300gm perut muda
3 tangkai kacang panjang
2 biji timun

3 biji tomato
1 batang lobak merak
2 biji cili besar
3 biji cili padi (secukupnya)
3 biji bawang merah
1 mangkuk kecil taugeh
Sohon secukupnya
Fucuk secukupnya
Cuka secukupnya
Gula dan garam secukupnya
Air secukupnya




Cara Penyediaannya
* Bersihkan dan potong sayuran memanjang. Tomato dan timun potong dadu dan buang biji.
* Sohon dan fucuk direndam terlebih dahulu kemudian potong pendek.
* Hiriskan bawang merah, cili padi dan cili merah.
* Perut yang telah direbus di potong memanjang lebih kurang 1 inc.
*  Campurkan cuka, gula dan garam, kacau hingga gula larut dan campurkan bawang.
* Jerang air hingga mendidih.  Masukkan campuran cuka tadi, masukkan perut, fucuk dan sayur dan agak keras terlebih dahulu (kacang dan carrot).  
* Kacau sebati dan biar sehingga mendidih, masukkan sayur yang lain.
* Sesuaikan rasanya dan tutup api.
* Siap untuk dihadangkan.


Sayur-sayuran tu tak perlu masak lama sampai jadi lembut.  Kerabu ini sedap jika sayurannya masih terasa ranggup krak krup krap kruk ketika digigit.

Kalau tak makan organ dalaman atau perut lembu, awak boleh gantikan dengan ayam.
Wassalam.

Friday, 3 May 2019

Lao Mandre: Mok Naa, Tanjung Lumpur

Assalam...
Jika orang ber JJCM ke Kuantan, carian tempat makan akan mencadangkan Warung Mok Naa yang terletak di Tajung Lumpur.  Saya dah pernah datang dulu dengan Siti dan Biah tapi masa tu kami sampai awal pagi Mok Naa tak mulakan operasi lagi, baru nak set up.  Kali ini ada orang yang tak pernah sampai tapi asyik dok sebut, so kita singgah lah sekejap mencari makanan yang ringan-ringan.  Tak sangka boleh pula terjumpa orang kampung kat sini. 

Hujung sebelah sana adalah lauk makan tengahari, kat sini bukan hanya jual goreng-goreng dan ict macam yang orang tahu tu.  Nak makan nasi berlauk pun ada, tapi hari tu kami hanya nak makan goreng-goreng saja sebab nak pergi makan tengahari kat tempat lain kejap lagi.


Sata bakar yang biasa kita jumpa dibungkus dalam daun pisang bentu kon.


Sata goreng, pertama kali rasa lain sikit dengan sata yang dibakar.  Kulit tu masal guna kulit wantan atau fucuk,


Goreng-goreng, dulang ict tu tinggal seredak jer, ikan dengan sotong masih berenang dalam kuali, yang tadi baru jer habis.


Kuih-muih, yang depan tu macam akok


Kuih Sagumpal atau bronok?


Tupat sotong atau ketupat sotong.


Ini saja yang kami pilih bersama seketul tupat sotong.  Minum pun air free jer, air kosong.

Ada goreng-goreng tu yang tak habis makan, jadi tapau untuk makan nanti, siap bertegur sapa dengan orang kampung dan makan, moh beransur gi cari makan tengahari pula.
Wassalam.

Thursday, 13 December 2018

Ubi Kemili Atau Ubi Keling

Assalam...
sekali pandang macam biji cekur, cuma besar sikit daripada cekur.  You all panggil ini sebagai ubi apa ya? Ini mak mertua beli dari pasar malam Jerantut, saya ingat dia nak letak dalam gulai macam mak Andak Kedah dok buat.  Mak Andak panggil ubi kemili, pernah beberapa kali makan gulai yang disediakan oleh mak Andak yang bercampur dengan ubi ini.  Mak mertua panggil ini ubi keling, pesen mereka makan berbeza pula dengan style orang utara.  Mak tugaskan adik basuh dan rebus bersama sedikit garam hingga empuk, lepas itu dimakan begitu saja sebagai kudapan.

Pengalaman pertama makan begitu saja, boleh kan bukan tak boleh.  Kupas sebiji, ngap, telan dan ulang proses tu hingga berbiji-biji ubi keling masuk dalam perut.  Sebenarnya kalau di makan begitu saja memang agak tawar dan hambar, mula saya terfikir alangkah sedap jika di cicah dengan sambal tumis atau kelapa parut dan yang paling koman cicah dengan gula.


Saya hantar gambar pada kawan saya, dia kata sedap ubi ini dan dia pun suka makan dengan kelapa parut yang dicampur dengan sedikit garam.  Nampaknya saya seorang saja yang tak tahu akan ubi keling ini.  Kenapa lah asyik keling yang dapat nama, orang melayu nie memang pemurah sangat, semua benda nak bagi kat orang lain termasuk lah nama ubi, last-last yang tinggal kat diorang takde apa-apa.  Tapi nama yang paling saya suka tentang ubi ini adalah nama yang diberi oleh orang jawa, mereka namakan sebagai kentang jembut, kan ada bulu-bulu tu lah jembut.

Jika ada rezeki, hujung minggu ini dapatlah makan lagi ubi jembut ini.  Dah buat order kat orang kampung tolong belikan sekilo dua bila jumpa kat pasar.  Bila dah on ada stok, kita tinggal sediakan sambal tumisnya nanti.  
Wassalam.

Friday, 28 September 2018

Kulit Rambai Masak Lemak

Assalam...
Gara-gara ramai yang bagi tahu hari tu kulit rambai boleh buat sayur, dimasak lemak saya pun nak mencuba juga.  Selalu orang masak kulit yang fresh (belum layu, masih warna cream) lepas ambil isi terus masak, tapi masa saya makan buah rambai masa tu kulit pun dah layu.  Walaupun dah bertukar warna, hentam saja lah sebab nak tahu rasa sayur kulit rambai.  Saya google ada yang campur dengan petai, kebetulan ada stock petai jeruk saya tambahkan sekali.



Kulit Rambai Masak Lemak
Sumber:  Mulia


Bahan-bahan
Kulit rambai
Santan
Ikan bilis*
Bawang merah*
Bawang putih*
Cili merah - hiris
Serbuk lada hitam
Petai (jika suka)
Sedikit air (jika perlu)
Garam, gula dan serbuk perasa



Cara penyediaannya
* Tumbuk lumat bahan bertanda '*'
* Bersihkan kulit rambai, sebaiknya guna kulit yang fresh (warna masih putih).
* Campurkan bahan tumbuk dengan santan, air dan serbuk lada hitam, jerang atas api.
* Masukkan kulit rambai, cili merah dan petai, jerang hingga masak.
* Sesuaikan rasa dan angkat.

Sedap juga rasa sayur ini, mungkin klau guna kulit yang fresh lagi umpph rasanya.
Wassalam.

Wednesday, 29 August 2018

Laksa Pahang

Assalam...
Laksa Pahang tak segelemer dengan laksa dari negeri-negeri lain di Malaysia seperti laksa Penang, laksa kedah, laksa Johor atau laksa lemak Kelantan.  Ada orang yang tak tahu pun pasal laksa Pahang nie.  Jangan tak percaya ada orang Pahang sendiri yang tak kenal dengan laksa negeri mereka.  Mungkin sebab negeri yang luas dan laksa Pahang hanya terkenal di daerah tertentu sahaja (daerah Pekan dan Kuantan).


Sudah lama simpan resepi ini, big bos sendiri yang masuk dapur, sinsing lengan memasak laksa Pahang.  Kami jadi pemerhati dan tukang catat macamana nak sediakan laksa ni.  Resepi dari orang yang sangat teliti berkenaan rasa dan pemilihan bahan yang digunakan mesti hasilnya yang terbaik.  Resepi laksa Pahang yang lain mungkin menggunakan ikan selayang, tetapi Puan Sri ajar kami guna isi ikan tenggiri dan isi udang segar.  Resepi macam di bawah nie. 


LAKSA PAHANG
Sumber: Puan Sri FMA
Anggaran untuk 30 orang


Bahan-bahan Untuk Kuah Putih
3 kg ikan tenggiri*
1.5kg isi udang segar*
500gm udang kering*
1.5 biji kelapa parut* - goreng / sangrai
1 kg santan
4 keping asam gelugor 
Cara Penyediaannya
* Blend halus bahan bertanda '*' di atas.
* Campur semua bahan dan masak (mereneh).


Bahan-bahan Tumisan (Kuah Merah)
500gm bawang kecil*
250gm bawang putih*
600gm serai*
2 inc. kunyit hidup*
150gm halia*
50gm lengkuas*
6 sudu besar serbuk kari ikan
5 sudu besar cili boh
3 sudu besar serbuk ketumbar
kelapa parut - goreng / sangrai
Minyak untuk memasak

Cara Penyediaannya
* Blend halus bahan bertanda '*'
* Tumis bahan-bahan di atas hingga naik minyak.
* Campurkan ke dalam kuah putih tadi.
* Rebus kuah sambil kacau hingga masak.
* Sesuaikan rasanya dan hidangkan.



Bahan Pelengkap lainnya
4 pkt laksa beras (kering) - rebus
Timun - hiris halus dan memanjang
Kacang panjang - hiris halus
Daun selasih - hiris halus
Daun kadok - hiris halus
Daun kunyit - hiris halus
Taugeh
Belacan merah - bulatkan kecil-kecil
Sambal cili - lumatkan cili kering yang telah direbus

Cara Penyediaannya
* Hidangkan laksa dengan menambah bahan pelengkap yang lain.
* Tambahkan belacan dan sambal cili.
* Curahkan kuah ke atas laksa tadi.



Memang jadi kesukaan bila ada majlis yang melibatkan Tan Sri dan Puan Sri sebab akan ada menu laksa Pahang.  Jadi sesekali kami pun dapat juga merasa, nak beli memang tak ada dijual macam laksa biasa.  Yang ini pun bukan laksa yang buat sendiri tetapi dapat bungkusan daripada event mereka.


Habis sepinggan rehat sebentar, lepas itu tambah lagi pinggan yang kedua.  Tunggu masa sesuai dan ada geng yang suka baru plan untuk sediakan sendiri.
Wassalam.