Showing posts with label Riadah / Santai. Show all posts
Showing posts with label Riadah / Santai. Show all posts

Monday, 31 July 2023

Take A Break: Menikmati Senja di Sekitar Waduk Ompo, Soppeng

Assalammm....
Ompo nama tempat yang mengambil nama sempena tempat terbitnya air mataair yang menjadi punca  kehidupan utama di sekitarnya.  Punca air tersebut digunakan untuk aktiviti penduduk samaada kegunaan isirumah dan juga pengairan kawasan pertanian.

 

Petang tu kami memilih untuk berjalan kaki, start dari rumah makcik menuju ke kolam renang Ompo yang sering menjadi tempat riadah penduduk sekitar mahupun dari luar daerah.

Kolam renang utama, juga menjadi tempat latihan kanak-kanak dalam acara renang.  Tempat 3 orang anak sepupu, mengasah bakat renang mereka hingga dapat menjadi wakil sekolah, kabupaten mahupun propensi dalam acara renang.

Kolam utama tempat punca mataair terbit tidak dibuka untuk awam.

 

Ada dipaparkan sejarah asal muasal bagaimana mataair Ompo dijumpai.

 

Di luar daripada kawasan kolam renang, terdapat tasik dan kawasan hijau yang dikenali sebagai Hutan Kota Ompo, segala pokok kayu yang ditanam telah mereka kenalpasti dan daftarkan.

Di tengah-tengah waduk itu ada bangunan rumah makan tetapi masih ditutup sejak pendemik sehingga sekarang.

Lenguh juga kaki nak mengelilingi tasik dari hujung ke hujung.  Memang sesaui kalau nak briskwalk atau jogging waktu pagi atau petang.

Selepas mengitari kawasan tasik waduk Ompo, kami berjalan sehingga pusat kajian Universiti Hassanuddin (kampus vokasi).

Ada beberapa bangunan seperti ini di sini, digunakan sebagai bilik kuliah atau pentadbiran, tetapi ketika kami berkunjung tak jumpa seorang pun yang ada di kawasan ini.  mungkin ada hari tertentu saja mereka di tempat ini.

Keluar semula ke jalan utama, akan nampak rumah-rumah penduduk kampung Madello.  Kebanyakkan rumah kayu tinggi (rumah panggung).

Mendekati maghrib, jom lah kita balik ke rumah sebab selepas ini kita nak temankan sepupu ke hospital menjaga orang sakit.

Suasana ini saya dapat ketika kunjungan sekejap ke Soppeng pada bulan Mei lalu melawat ibu saudara yang tenat di hospital.  Alfatihah untuk arwah Hajah Jumriah Hema (Etta Jume) yang kembali kepada penciptaNya pada 12 Julai lalu, semoga rohnya ditempatkan bersama para solihin.Aamiin.

Wassalam. 

Wednesday, 26 July 2023

Take a Break: Piknik Di Lata Lembik Raub


Assalamm...
Langit cantik, cerah, matahari bersinar dan sungguh panas ceng petang itu.  Ambil keputusan datang piknik di Lata Lembik Raub.  Perjalanan dari rumah MIL lebih kurang sejam juga lah.  Bukan takde tempat piknik terdekat, tapi sebab kata nak air dalam baru puas berendam.  En. Abe pula nak cuba nasib nak memancing kot-kot dapat anak kelah ke anak tengas ke seekor buat penambah koleksi dalam aquarium.  Ketika sampai adalah beberapa orang pengunjung mungkin sebab bukan hari hujung minggu, sebab tu sunyi.  Anak-anak muda naik motor, mungkin dari kampung sekitar sini.  Mereka mandi, selam-selam dan balik.
 
 
Tempat ini dulu (sebelum PKP) ramai pengunjung dan terjaga tempatnya.  Ada bayaran dikenakan untuk masuk dan adalah petugas yang menjaga kawasan.  Kini sunyi sepi dan fasiliti yang tersedia terbiar begitu saja, ada beberapa buah chalet yang sudah mengalami kerosakan, gerai menjual makanan yang sudah tutup, bangunan tandas dan ruang ganti lagi menyedihkan keadaannya.

Jambatan gantung juga terbiar walaupun masih boleh dilalui oleh pengunjung.  Piknik tanpa makan mana nak sah kan, masak beriya orang tu dari rumah dengan masak lemak cili apinya, bihun goreng dan makanan ringan.  Kalau datang awal dan nak berlama-lama boleh lah nak buat bakar-bakar.

Kawasan batu-batu ini dulu, laluan air deras di sini, memang macam air terjun.  Biras kami cakap tempat budak-budak main terjun tiruk suatu waktu dulu, tempat itu pun menyimpan kisah juga bila ada yang  menjadi korban di celah batu besar itu.  Cerita tu dia kisahkan ketika kami sudah balik dari mandi air lata.  Ko rasa klau dia cerita awal sebelum pergi, semesti lah aku tak panjat batu-batu sampai ke atas sana wehh..
 
Ada satu group anak muda yang berkhemah di seberang tempat kami.  Agaknya mereka datang sejak pagi di sini.
Bila up status mandi lata, berdesup orang mesej hati-hati dengan kepala air.  Memang musim berita kejadian kepala air kan masa tu.  Mestilah kita pun sudah mewanti-wanti sebelum ambil keputusan datang ke sini, terima kasih kerana prihatin pada kami.
 
 
 
Lain kali nak datang lagi tak? semestinya nak sebab utama badan saya tak gatal-gatal selepas mandi di sini.  Maksud punca air bersih lah sebab atas tu kawasan hutan simpan bukan kawasan kebun orang.
Wassalam. 

Thursday, 13 August 2020

Aidll Adha 2020

Assalamm...
Sudah dua kali kita menyambut raya pada waktu PKP dan kedua-duanya sangat berbeza daripada tahun-tahun lepas.  Raya puasa sambut di rumah sendiri sebab rentas negeri tidak dibenarkan, ketentuannya mertua dari kampung yang datang sambut raya dengan kami sebab pak mertua ada masalah kesihatan dan perlu dirujuk ke PPUM segera.  Bermula dari situ lah yang ayah kena hd 3 kali seminggu dan tinggal bersama kami hampir 2 bulan sementara menguruskan segala dokumen, dan menguruskan tempat hd baru berdekatan di Jerantut.  Seminggu sebelum Aidil Adha, urusan ayah telah selesai dan beliau dapat hd di Jerantut dan kami pun plan nak balik beraya di Pahang, berkumpul dengan adik-beradik yang boleh balik beraya.  Hanya 4 orang daripada 7 beradik en.Abe yang dapat berkumpul dan kami balik 2 hari sebelum raya.  Macam biasalah jalan raya musim perayaan ke pantai timur tu sesaknya luar biasa walaupun kami melalui jalan lama, dini hari baru sampai rumah. 

Sehari sebelum raya, mertua ke pekan untuk membeli barang-barang untuk masak-masak raya petang dan malam nanti.  Sarapan nasi berlauk pagi tu untuk yang tidak puasa sunat sebelum mulakan operasi cuci dan kemas rumah.  Rumah ditinggal hampir 2 bulan macam-macam hal berlaku, paip air bocor menyebabkan dinding dan siling dapur serta satu bilik berkulat serta serangan anai-anai pada perabut di bilik tidur.  Minggu lepas balik hantar barang sempat kemas sikit dan buang perabot yang terjejas.  Katil dan almari baju jadi mangsa dan tidak dapat diselamatkan terpaksa dibuang dan dibakar.  Ini tengah diy buat rangka katil sementara pagi itu.


Sebelah petang saya ambil tugasan cuci ayam dan sediakan bahan-bahan nak masak-masak raya sebab dah tak larat teruskan mengemas bersama adik.  Mertua yang ambil alih tugas memasak untuk juadah buka puasa dan makan malam petang tu.  Rehat-rehat selepas makan malam, masing-masing ambil tugasan, saya tolong  mertua buat tapai, permintaan last minute daripada cik aji (bonda ustad dasuki) minta dibuatkan tapai 2 kilo yang dibungkus dengan daun getah, tapai untuk rumah ini dah buat semalam.  Peluang yang bagus sebab sebelum ini memang tak pernah lagi tengok cara balut tapai guna daun getah, selalu mertua guna daun pisang ataupun letak dalam container kecil.  Aktiviti mengemas sambung esok lagi dan yang lain tolong cucuk sate.


Daun getah yang telah dibersihkan, perlu betul-betul kering sebelum digunakan untuk membungkus tapai.  Itu tips supaya tapai tak merah kata mak mertua.


Percubaan pertama, asyik nak cari daun getah yang besar sebab boleh letak pulut banyak-banyak dan senang nak lipat.  Asyik mengelat je kerjanya, tapi mereka lagi mengelat kata tak pandai bungkus tapai dan pulut lepo.


Hasilnya ada yang kembung dan merekah sebab terlalu banyak pulut.  Hantam saja lah labu, dah dekat tengah malam masa tu dan ada 2 kilo pulut lagi masih menunggu giliran untuk buat pulut lepo minta dibungkus. 


Pagi raya, tiada yang pergi sholat raya, orang perempuan tak dibenarkan sholat di masjid kampung.  Ayah ada hd pagi itu di Jerantut, kami bertiga teruskan berkemas lagi, nasib lah raya PKP tiada orang datang berziarah, pagi raya rumah macam tongkang pecah.  Dekat tengahari sepupu call nak datang beraya lepas jumaat, speed mengemas terpaksa dilajukan harap dapat settled sebelum mereka sampai.  Standby susun kerusi dan meja di garage sekiranya mengemas tak boleh siap, boleh lah mereka duduk dan makan di situ nanti.  Alhamdulillah petang tu sempat semuanya dan ayah pun sempat balik dari hd sebelum mereka datang, dapatlah sembang santai-santai sambil menikmati juadah bersama.


Sebelah malam, santai adik beradik bakar-bakar sate.  Sendiri perap, sendiri cucuk, sendiri bakar dan sendiri makan.  Saja nak rasa bagaimana jika sediakan sendiri, projek bakar lemang tidak dapat dilaksanakan sebab ada tugas yang lebih penting, sudahnya beras pulut dan kelapa hantar ke rumah pak itam.  Malam raya pak itam call datang ambil lemang, hehehehe.  Malam tu tidur awal sikit sebab plan kami 4 orang nak bertolak ke Kota Bahru jam 5.


Terbabas waktu nak bertolak 5 pagi, semua tak sedar jam loceng bunyi, alih-alih dengar azan subuh.  Jam 7 lebih sikit kami bertolak ke KB pagi itu, perjalanan balik hari semata-mata nak hadiri majlis kesyukuran sepupu kahwin.  Dalam benak asyik terfikir tak jem ker dalam perjalanan.  Pergi sesak sedikit terutama kawasan dekat pekan, dapat sampai KB jam 1 tenghari.  Sedang elok lah perut pun dah lapar kan, terus je boleh makan?


Mak ngah terima menantu orang Sibu Sarawak, selamat untuk Hazman dan Humairah.  Bagi peluang chek berjumpa adik-beradik dia yang lain di rumah kenduri saja, abang dah siapkan jadual sebelum jam 4 kena gerak balik untuk elakkan kesesakkan sebab masa datang pun dah nampak kenderaan bertali arus keluar dari kelantan.  Siap urusan, kami gerak balik dalam 4.15 petang, nampak mereka bungkuskan bekalan gulai atau lauk.  Kesesakan memang dah dijangka dibanyak kawasan, redho saja lah dan kami sampai rumah (Batu Balai) pada jam 2 pagi.

Esoknya sambung lagi cuci rumah sampai ke petang.  Kali ini cuci rumah sungai pula, mertua ada 2 rumah jika tak banjir duduk rumah dekat sungai, masa banjir pindah duduk rumah dalam kebun.  Banjir bulan 6 hari tu agak tinggi hingga cecah lantai, dah berapa bulan tak dibersihkan, selut dan tanah pun dah mengeras.  Selesai cuci 2 buah rumah terus rasa ada hati boleh offer service cuci rumah lepas ini, hahaha.  Malam tu tangguh balik PJ, nak rehatkan kaki, lagi pun tengah jem sangat tu tengok update pengguna jalan raya, balik esok pagi lah.
Wassalam.

Sunday, 1 December 2019

Take A Break: Larian Bendang Selangor 2019

Assalamm...
Tengok orang nak lari ko pun nak lari, haish suka sangat nak mengikut orang.  Sebenarnya kami tak suka tapi sebab desakan cik diva nak pergi lari dan lagi satu atas nama fun run jadi kami joint lah for fun kan.  Dah lama tak keluar peluh, nak pergi uka bukit, musim hujan tangguh dulu lah.  Larian Bendang Selangor katanya, saya nak ikut sebab ingatkan kena masuk dalam bendang main selut, tapi anggapanku meleset, hanya lari-lari tepi bendang tak sentuh pun batas atau tali air.


Starting dan end point di Masjid At-Tuqo Kampung Sungai Sireh.  Sebelum larian kena warming up dulu, boleh lah goyang-goyang kan pinggang.  Seawal subuh dah sampai sini menunggu kawan kami yang bawa baju.  Kecoh juga lah awal tu sebab kena parking jauh dan ada baju yang kena tukar sebab mereka tersilap beri, en.abe dapat t-shirt muslimah...wakakaka.


Sampai selekoh bertama, jumpa jentera ketam padi ni.  Macam menarik jer dia parking di situ, agaknya stanby untuk turun bendang sebab ada sebahagian bendang lagi yang mana padi belum cukup matang untuk dituai.


Memang menarik perhatian para peserta, kalau ada geng yang sama corot kat belakang ini, boleh nak ajak dia naik panjat mesin tu.  Sebab tak kenal siapa, kang mereka kata buang tebiat sungguh makcik nie, pendam hasrat dan teruskan berlari er, berjalan.  Berlari 100 meter pun tak sampai, selebihnya 4.9km tu berjalan saja.


Jumpa tali air di pertengahan jalan, syok nie kalau dapat berkubang kat dalam tu.  Tapi tu zamn kita dulu lah, budak-budak sekarang tak buat dah benda-benda tu semua.


Di hadapan sana dah ramai yang melewati selekoh ke-2.  Jauh ke depan, nampak kecil macam semut semua.  Jauhnya saya tertinggal di belakang, mungkin antaranya tu kawan-kawan saya.


Toleh belakang, eh ramai lagi peserta yang di belakang rupanya.  Ingatkan saya lah orang yang paling uncit.


Pertengahan jalan ada kaunter sediakan air bagi peserta yang kehausan.  Air dalam botol yang saya bawa pun tak sentuh lagi, jadi tak perlu singgah lah.


Menghampiri selekoh yang ke-2.  Laluan sini lebih santai kiri kanan bendang, adalah peluang nak pergi dekat-dekat padi ambil gambar.


Sambil berjalan sambil check jarak berapa lama lagi nak sampai, rasa kaki dah nak cramp berjalan laju nie.  Si diva yang umur 5 siri pun sudah mendahului ke depan, langsung tak nampak bayang dah diorang semua.


Ok semua selamat sampai dan dapat medal, just for fun.  Jom kita rehat sambil beli makanan dari penggerai di perkarangan masjid.


Nak tunjuk juga, tak bangga pun, sedar memang saya tak boleh lari, boleh lah tamatkan jalan kaki 5km dalam masa sejam.  Sekurang-kurang dapat keluar peluh sedikit , tak sampai basah lencun pun.


Video ketika larian bermula, sebab sempit dan ramai rasanya dah tak ikut aturan yang lain nak berlari.  Sepatutnya kategori family yang lari dulu, tetapi yang lain pun ikut sama, hentam saja lah labu, fun kan. 

Sekarang saya dapat bezakan kesan berlari dan hiking pada badan sendiri.  Hiking laluannya ada up and down satu badan boleh sakit, ambil masa beberapa hari baru boleh jalan dengan betul terutama naik turun tangga.  Berlari, penat nak mati yang sakit hanya pada bahagian lutut ke bawah, tapi yang sangat bagus boleh membuang dengan lancar beberapa hari.  Mereka yang memang berlari tahap maksimum tu kesan lebih lagi lah, so lain kali boleh jer ikut lagi larian, tapi atas nama "Fun Run" saja. 
Wassalam.

Saturday, 30 November 2019

Lao Mandre: JJCM Di Kuala Selangor

Assalamm....
Nikmat Allah yang perlu disyukuri, dengan tak sengaja dijumpakan dengan makanan yang sudah lama diingini.  Ini cerita sebelum dan selepas larian bendang, sebelum hari larian kami gerak awal dan tido di area sana untuk elakkan tergopoh-gopoh awal pagi.  Sementara 3 orang lagi akan bergerak awal pagi esoknya.  Plan asal nak gerak awal, sekurang-kurangnya dapat jalan-jalan sebelum senja, tapi dua-dua keletihan balik kerja petang tu, jadi kami rehatkan diri dulu dan mulakan perjalanan sebelum magrib. 


Keluar rumah memang dengan perut kosong, tambah pulak baru lepas tido petang, mestilah lapar.  Tapi sebab kami plan nak singgah makan dalam perjalanan sebelum sampai hotel, jadi harap sabar lah wahai perut.  Dalam memilih gerai mana nak singgah, tetiba ternampak signboard mee udang banjir, terus jelah belok masuk kat situ dengan harapan dapat mee udang yang sedap tak sama dengan gerai sebelum-sebelum ini yang agak mengecewakan.   


Orang tu pun jumpa benda yang diidam-idamkan, udang galah, pilih tomyam udang galah.  Bawah tu senarai makanan yang berasaskan udang-udangan semua, pilih lah ikut selesa nak kemampuan.


Ada makanan lain jugak, bukan semuanya yang ada udang-udang tu, ada pelbagai masakan panas lainnya.  Seorang pakcik berhenti dan tanya menu yang saya order ketika melihat semangkuk mee udang atas meja.  Mungkin dia pun orang luar juga.


Ini signboard kedai tu, lokasinya atas sikit dari Pasir Penambang dari arah Kuala Selangor.  Gerai sebelah kanan.


Ok, ini cerita selepas lari pula (iye ker lari?), masing-masing memang lapar, dapat makan satu ketul roti yang dibekalkan pagi tadi.  Mereka ada beli jajan dari penggerai di situ semasa menunggu, tapi tak puaslah makan macam tu.  So otw balik ingat nak singgah nak singgah cari nasi ambeng di restoran yang biasa kami singgah.  Tak sampai lokasi yang dituju, ternampak gerai itik salai, belok sajalah masuk sini kita try makan itik salai sini pula.  Masa tu masih awal, tak ramai orang lagi, lauk pun tak habis masak lagi.


Kat sini, lauk utama dihidangkan secara set macam kat bawah nie, set siput sedut masak lemak dengan batang keladi.  Jika nak tambah lauk lain boleh saja.


Ulaman dengan sambal belacan, sambal belacan yang susah nak kenalpasti sambal belacan atau sambal apa nie?.  Kawan saya siap berteka teki, tak puas hati dia pergi tanya makcik tu kesahihan adakah itu sambal belacan atau tidak.  Sesuailah dengan style diva dia tu, sebab lepas makan confirm tangan tak bau belacan macam sambal belacan orang lain yang bau belacan tu boleh lekat sampai 3 hari.


Itik salai set, nampak ada tambahan ayam goreng di situ. 


Dua orang lagi jadi pemerhati je kami bertiga melahap makanan, dia rasa pelik bin ajaib bila orang makan siput sedut dan itik salai.  Nak wat macamana, dia tak boleh makan sebab tak pernah jumpa mak dia masak kat rumah.  Lantak engko lah, tak nak try rugi.  Bukan dia jer pelik, kami pun pelik tengok dua orang muda ni, cara mereka makan suka menu-menu hisper, tak sama macam kita yang purba ni.  Kawan diva saya cakap sedap sangat masak lemak siput tu, chef tempat dia masak pun tak sesedap macam ni.


Demikianlah cerita citarasa orang lama yang biasa-biasa nak makan, sukanya benda yang old school juga.  Tak jumpa nasi ambeng pun tak ralat lah sebab jumpa yang kena di tekak di sini.  Perut kenyang senang hati, senyum lebar sepanjang hari.  Oh ya nama kedai makan tu Itik Salai Masthar, Sungai Gulang-Gulang, Tanjung Karang.
Wassalam.