Showing posts with label Bugis. Show all posts
Showing posts with label Bugis. Show all posts

Sunday, 18 October 2020

Muzium Bugis, Pontian Johor

Assalam...
Kisah lontar belakang, beberapa tahun dulu ketika berkesempatan berkunjung ke Muzium Bugis yang terletak di Taman Awam Sungai Rambah, Pontian Johor.  Sejarah penubuhan muzium ini pada awalnya diasaskan oleh Tuan Haji Abdullah bin Ahmad @ Tok Dollah (arwah) yang suka mengumpul bahan-bahan yang mempunyai nilai-nilai warisan sejarah etnik Bugis di negeri Johor khususnya daerah Pontian.  Minat yang mendalam untuk mengumpul bahan-bahan sejarah bukanlah sesuatu yang mudah dan memerlukan biaya yang tinggi untuk dirialisasikan.  Mulanya hanya dikenali sebagai Warisan Bugis, namun pada tahun 1994, impian Tok Dollah menjadi kenyataan berikutan pengiktirafan oleh Yayasan Warisan Johor,  di mana terdirinya sebuah Muzium Bugis yang pertama di Malaysia.

Muzium Bugis ini telah ditubuhkan pada tahun 1982 oleh Pak Dollah atas minat yang mendalam serta hasrat mahukan generasi akan datang mengetahui sejarah asal usul serta menghargai adat resam warisan bangsa Bugis masa lampau. Di sini terhimpun lebih kurang 2000 artifak termasuk koleksi senjata, pakaian, barangan tembaga, duit lama, perhiasan dan peralatan harian serta gambar-gambar lama yang menyimpan pelbagai kisah bersejarah.
Kawasan taman awam ini menarik untuk dikunjungi, berhadapan dengan laut Selat Melaka. Sangat sesuai untuk berekriasi seisi keluarga di samping itu boleh melawat Muzium Bugis.
Kedatangan kami pagi itu disambut oleh Tok Dollah (arwah masih sihat ketika itu), beliau membawah kami melawat dan memberi penerangan pada setiap ruang dan bahan yang dipamerkan di dalam musium ini.
Dewan utama ini akan kita jumpa mula-mula ketika memasuki dalam bangunan muzium.  Ramai juga pelawat yang boleh dimuatkan dalam satu-satu masa di sini.
Bahagian hadapannya di gantungkan dengan gambar tokoh-tokoh terdahulu di kalangan raja-raja, pemimpin dan pembesar di alam melayu.
Arung Palakka, anak raja Bone yang memerdekakan kerajaan Bone daripada jajahan kerajaan Gowa.  Kisah sosok tubuh ini sering dibahas sebagai seorang pahlawan atau pengkhianat?
Selain bahan-bahan berkaitan dengan etnik bugis, turut menjadi koleksi di muzium ini adalah artikel yang berkaitan dengan peristiwa sejarah negeri Johor, kisah bintang filem dan peristiwa-peristiwa utama di Tanah Melayu dan Singapura.

Surat titah Sultan Ibrahim (Sir Ibrahim) kepada Dato Ungku Mohsin selaku orang Opis Tanah, Johor (Pegawai Pejabat Tanah Johor)  ketika itu.
Antara koleksi berharga yang terdapat di sini adalah al-quran tulisan tangan pada kulit kambing yang dihasilkan pada tahun 1311.
Himpunan duit syiling lama.
Saya pernah jumpa wang kertas seribu ini awal tahun 90-an, wang sepupu yang disorok bawah laci...hehehe.
Koleksi senjata yang dipamerkan.
Senjata kecil, matanya diperbuat daripada gading atau tanduk haiwan.  Mungkin inilah yang dipanggil sebagai cobo, senjata yang sering disembunyikan dibahagian pinggang untuk tujuan mempertahankan diri pada zaman dahulu.
Tok Dollah mendirikan sebilah parang di atas sebongkah batu.  Sambil melakukan itu sambil berseloroh dan memberi banyak kiasan yang sangat mendalam tentang kisah masyarakat Melayu dari sejak dahulu kala.  Ada sebagaiannya yang saya kurang faham dengan maksud kiasan tersebut.
Hariz tak lepaskan peluang nak ambil gambar pada parang berdiri di atas batu.
Sebahagian peralatan pertanian, pertukangan dan alat memproses makanan zaman dahulu.

Koleksi bagasi orang dulu-dulu, tahan lasak melompat kat atas tu pun tak pecah.
Siapa yang masa kecilnya menggunakan 2 jenis lampu ini? Lampu gas atau minyak tanah.
Sample pelamin, pengantin bugis.
Peralatan muzik yang dipamerkan, ada gambus, kecapi, gendang dan kompang.
Susunatur penyajian makanan dilakukan.
Busarak iaitu terdiri daripada dulang berkaki dan penutup tempat meletakkan hidangan dalam sesuatu majlis keraian orang bugis.  Benda ini masih digunakan hingga sekarang.
Set cawan dan pinggan unik menjadi koleksi kesayangan pengasas muzium.  Beriya-iya Tok Dollah tunjukkan kepada kami, wajah yang kelihatan pada bahagian dasar cawan ketika di letakkan di tempat terang.
Ini kah yang digambarkan sebagai sang puteri dari negara tiongkok iaitu Puteri Hang Li Po?
Antara koleksi pinggan mangkuk lama yang diperbuat daripada kaca dan porceline.
Berseni sungguh cara orang lama menghidangkan air minuman.  Bekas lapik gelas dan penutup bercantum dengan tali atau rantai dari material yang sama.
Periuk tanah dan mangkuk tembikar.
Unik cara penyimpanan peralatan dapur masyarat dahulu.
Sudu garfu dan senduk yang diperbuat daripada tembaga.
Bilik peraduan zaman dahulu, katil besi guna kelambu dan tinggi serta mempunyai kolong di bawahnya.  Kami dulu-dulu bila bangun pagi, cepat-cepat kemas katil dan dilarang sama sekali untuk baring di atasnya.  Bahagian bawah kolong itu selalu menjadi pot untuk bermain.
Perhiasan kepala, gelang tangan, gelang kaki, rantai dan doko yang digunakan oleh puteri raja zaman dahulu, masih dapat di lihat perhiasan ini diguna pakai oleh pengantin bugis masa kini.
Koleksi cucuk sanggul.
Caping, alat untuk menutup bahagian kemaluan kanak-kanak zaman dahulu.  Dulu nenek-nenek kami jika bercerita (ramai yang tak tahu menyebut tahun) jadi mereka merujuk zaman sering menyebut benda ini,  dia akan berkata ketika itu kanak-kanak masih bercaping membawa maksud zaman lampau.
Caping yang dipakai oleh kanak-kanak orang kebanyakan menggunakan caping perak atau tembaga, sementara anak bangsawan caping mereka diperbuat daripada emas.  Banyangkan jika ada yang menyimpan caping emas zaman ini, boleh dijadikan modal dengan nilai emas yang sangat tinggi. 
Semoga muzium ini kekal terpelihara sampai bila-bila oleh waris Tok Dollah ataupun oleh pihak-pihak yang dipercayai untuk menguruskannya.
Muzium bugis dibuka setiap hari kepada pengunjung dari jam 10 pagi hingga jam 6 petang.  Muzium yang diurus dan dikawal selia oleh keluarga arwah Haji Adbullah bin Ahmad  tidak mengenakan sebaran bayaran, namun jika pelawat ingin memberi sumbangan amat dialu-alukan sebagai sokongan dan dana untuk membiayai kelangsungan muzium.
Wassalam.

Monday, 13 May 2019

Leppe-Leppe (Belebat / Lepat)

Assalam...
Lari sikit dari cerita makanan buka puasa, ini adalah makanan tradisi orang bugis yang dinamakan Leppe-leppe (Lepat).  Tetapi lepat ini dibuat bukan untuk makanan pada masa bulan puasa ataupun menu hari raya.  Leppe-leppe selalu disediakan ketika ada acara kesyukuran sambut kelahiran bayi, naik rumah, sambutan maulid nabi mahupun tahlilan untuk arwah.  Kiranya ini hanya boelh dijumpai ketika ada acara tertentu dan tidak dibuat  untuk saja-saja nak makan.  Kalau nak makan saja-saja, selalu mereka sediakan pulut biasa saja.



Leppe-Leppe (Belebat / Lepat)
Sumber: Hjh Jumria

Bahan-bahan
1 kg beras pulut
1 liter santan
Sedikit garam
Secukupnya daun kelapa (muda)

Cara Penyeediaannya
* Sediakan daun kelapa, bahagian yang muda sama macam nak buat ketupat.  Buang urat tengah lidi dan lipatkan daun sebanyak 5 kali sepanjang sejengkal.
* Sediakan pengukus, jerang air hingga mendidih kemudian masukkan pulut.  (tunggu wap panas naik kemudian tutup pengukus.  Kukus pulut hingga masak.
* Panaskan santan dan garam hingga mendidih sekejap.
* Keluarkan pulut dari kukusan dan gaul dengan santan sedikit demi sedikit hingga semua bahagian terkena santan.  Guna senduk kayu ketika mengaul pulut dengan santan.
* Biar pulut suam dan isikan ke dalam kelongsong daun kelapa.  Padatkan isi di kedua-dua hujung kelongsong dan setiap bahagian.
* Kemaskan balutan daun kelapa hingga menutupi pulut dan ikat mengelilingi kelongsong. Ikatan perlu kemas supaya tidak tercabut ketika merebus nanti.
* Susun lepat yang telah dibalut ke dalam periuk untuk merebus.  Air untuk merebus hingga ke tahap sama dengan lepat.
* Rebus hingga masak, atau daun kelapa bertukar warna (sekurang-kurangnya 2 jam).  
* Keluarkan lepat dari periuk, gantung atau anginkan hingga sejuk.

Dulang berisi 10 jenis makanan (kebanyakkan adalah kuih) yang akan diletakkan dihadapan imam yang akan mengetuai majlis bersanji atau tahlil.  Setiap bungkusan itu nanti akan dibahagi-bahagi kepada sesama mereka.  Antara menu yang terdapat dalam bungkusan adalah kuih putih (beppa puteh), bahulu, kuih oto (beppa oto'), goreng pisang, leppe-leppe (belebat), pulut (sokko), kuih koci (dodo' cangkuning), kuih buah sepang, dodol dan wajid (bajek).  Orang jawa ada nasi ambeng, orang bugis pula ada kuih 7 atau 10 jenis dalam dulang (beppa pitu rumpa atau 10 ruppana).


Pernah juga jumpa menu raya dalam masyarakat lain yang buat semacam ini.  Tapi pulut tak perlu dikukus hingga masak terlebih dahulu, cuma ditanak separuh masak bersama santan.  Kelapa parut turut dicampurkan ke dalam pulut. 
Wassalam.

Tuesday, 9 April 2019

Hantaran Perkhawinan Suku Bugis & Suku Mandar

Assalam...
Syukur diberi rezeki dapat menyaksikan majlis perkahwinan di daerah Polewali, Sulawesi Barat sekaligus dapat melihat adat budaya sebenar yang masih mereka amalkan di sana.  Walaupun kedua-dua suku (Bugis dan Mandar) ini menebar ke serata nusantara, tetapi kemungkinan ada sedikit perbezaan dari segi sambutan dan sudah terasimilasi dengan budaya setempat.  Pasangan pengantinnya daripada 2 suku yang berbeza, pengantin lelaki (suku mandar) dan pengantin perempuan (suku bugis).   Malu jer sebab saya cakap ada mini pickup truck yang membawa almari tidak dapat lalu kerena jalan sesak.  Ketika itu rombongan pengantin lelaki sampai, sementara keluarga daripada pihak pengantin perempuan sangat sibuk menyambut tetamu.  Tidak tahu langsung yang semua isi pickup tu adalah barang hantaran untuk pengantin perempuan


Sedulang pisang yang terdiri daripada 4 jenis pisang.  Pisang berangan, pisang raja, pisang abu dan pisang hijau.  Keempat-empat jenis pisang ini boleh dikategorikan sebagai pisang kelas tertinggi penggunaanya dalam masyarakat bugis dan mandar, buah pisang menjadi pilihan utama untuk sesuatu acara.


Kotak empat segi (sulapa' eppa) dibuat daripada bambu dan bertutup ini dipanggil "wala suji", bukan kueh suji tau.  Wala suji dan bentuk empat segi (sulapa' eppa) ini mempunyai makna simbolik tentang kehidupan manusia yang perlu berpandukan kepada kesempurnaan merangkumi empat penjuru utara, timur selatan dan barat ataupun api, angin, tanah dan air.  Pemilihan bahan yang digunakan untuk menghasilkan wala suji itu daripada bambu tua juga mempunyai makna bukan sahaja sebagai tumbuhan yang paling berguna kepada manusia tetapi juga terkandung pembelajaran bermakna jika memahami proses pertumbuhan pokok bambu (buloh).  Sebelum memunculkan tunas dan daun bambu, proses penyempurnaan pada struktur akar terlebih dahulu berlaku (akar berselirat bukan akar tunjang) sebagai asas yang kuat untuk pokok bambu bertahan dan tidak mudah patah.  Begitu juga dengan manusia, perlu diterapkan asas (keimanan) yang kuat demi mendepani kehidupan seterusnya.


Isi dalam bakul bambu (walasoji), kelapa dan pisang masih utuh dalam setandan.  Buah nangka pula adalah yang sebiji besar (sama ada yang masak atau nangka muda).  Simbolik sebagai bekalan makanan asas untuk memulakan hidup setelah mendirikan rumahtangga.  Adat orang dulu-dulu .

Ini pula adalah isi yang terkandung dalam kotak yang dipikul oleh 2 orang lelaki yang mengiringi rombongan pengantin lelaki (gambar pertama), diatas kotak turut dihiasi dengan juntaian seperti bunga telur.  Pulut, telur rebus, kuih penyaram (jompo-jompo) dan ketupat nasi yang didalam kelongsong bulat kecil itu.


Mas kahwin, wang tunai dalam frame dan bungkusan macam hamper tu adalah seperangkat alat solat (telekung dan sejadah).  Kedua-dua benda ini diletakkan di hadapan pengantin lelaki, wali dan saksi.  Ketika akad dijalankan, pengantin perempuan tidak keluar menunggu di dalam bilik pengantin. 


Barang hantarannya pula lengkap, mereka tidak mengira mengikut berapa dulang nak hantar dan berapa dulang perlu dibalas.  Perkakas asas dalam dapur, besen, kuali, sudip, gayung dan penyepit buluh untuk makanan dan bara, benda ini disediakan oleh pengantin lelaki.  Manakala pihak perempuan hanya menyediakan pinggan makan, pinggan lauk, ceper, mangkuk, dulang, gelas dan tempat basuh tangan (kegunaan untuk 2 orang, suami dan isteri).  


Barangan dandanan diri, untuk kebersihan diri dari hujung rambut ke hujung kaki, barangan hiasan dan barang untuk bersolek.

Ini pula kotak-kotak yang mengandungi pakaian dalam, anak baju, seluar dalam dan kain dalam (petticoat).  Persalinan untuk pakaian luar tetap ada baju, kasut, tapi saja tak ambil gambar, kan yang itu dah biasa kita jumpa.


Tidak dilupakan tambahan, alat untuk bersolek dan merapikan diri, kapas muka, cermin dan sikat rambut.  Bedak, lipstik, celak, sabun mandi tetaplah ada cuma tak dibawa bergambar sama.


Soal kesihatan ambil berat, hantaran berus gigi bersama ubat gigi.

Saya mencari kot ada lesung batu mereka jadikan hantaran tetapi tiada, jika ada batu cobek kan senang pengantin perempuan nak buat sambal ulek.
Wassalam.